Selasa, 22 Julai 2008

Pendaftaran Tempat Pekerjaan

Pendaftaran Tempat Pekerjaan

  1. Undang-Undang mewajibkan setiap tempat pekerjaan didaftarkan dalam tempoh 90 hari dari tarikh pengoperasiannya. Keperluan ini bagi membolehkan pemeriksaan dijalankan ke atas tempat pekerjaan tersebut.
  2. Pendaftaran dilakukan melalui pemeriksaan dan lawatan.

Aktiviti & Program

Pemeriksaan Tempat Pekerjaan

  1. Pemeriksaan merupakan salah satu daripada aktiviti utama jabatan untuk melindung hak dan memaju kebajikan pekerja.
  2. Konvensyen ILO yang telah diiktiraf oleh Malaysia mensyaratkan setiap tempat pekerjaan wajib diperiksa sekerap yang mungkin atau sekurang-kurangnya setahun sekali untuk memastikan pematuhan.
  3. Kepentingan Pemeriksaan terletak pada peranannya mewujudkan keamanan dan keharmonian dalam industri yang merupakan asas bagi peningkatan produktiviti dan pembangunan perindustrian dengan cara penyelesaian tuntutan hak yang diabaikan oleh majikan.
  4. Pemeriksaan juga menjadi saluran penting untuk menyampaikan nasihat dan panduan kepada majikan berhubung cara pengurusan sumber manusia yang praktikal untuk mewujudkan keharmonian industri.
  5. Pemeriksaan turut berperanan sebagai alat untuk memperoleh Maklumat Pasaran Buruh (LMI) secara berterusan yang amat berguna untuk Perancangan Tenaga Manusia Negara.
  6. Pemeriksaan Odit akan fokus kepada isu pematuhan dan nasihat pembetulan khususnya di kalangan Industri Kecil Dan Sederhana (IKS). Manakala Pemeriksaan Pembangunan difokuskan pada aspek pematuhan, nasihat pembetulan dan yang penting menasihat dan mengubah minda masyarakat industri kepada penambahbaikan sistem pengurusan sumbar manusia dan perubahan minda selaras dengan tuntutan ekonomi semasa.

Ahad, 20 Julai 2008

Fungsi

Fungsi

  1. Memelihara kepentingan ekonomi dan sosial warga pekerja melalui pelaksanaan standard-standard perburuhan (labour standards) dan langkah-langkah perlindungan yang ditetapkan di bawah dasar dan undang-undang buruh negara.
  2. Membantu meningkatkan daya pengeluaran negara melalui;

    (a) Pelaksanaan sistem pentadbiran perburuhan negara secara berkesan untuk mewujudkan satu angkatan tenaga kerja yang terjaga, berdisiplin, dan produktif; dan
    (b) Pemberian khidmat nasihat undang-undang buruh bagi membantu meningkatkan kecekapan proses pengeluaran barangan dan perkhidmatan.
    (c) Membantu menggalakkan keseimbangan kaum dalam struktur gunatenaga di sektor swasta.
    (d) Membantu dalam pelaksanaan dasar gunatenaga negara dengan memberi keutamaan peluang pekerjaan kepada warganegara melalui pencegahan dan pengawalan penggajian pekerja-pekerja bukan warganegara.
    (e) Membantu meningkatkan kualiti kehidupan para pekerja di sektor perladangan.
    (f) Membantu menghidupkan konsep masyarakat penyayang melalui pelaksanaan kepentingan golongan masyarakat yang kurang bernasib baik dan yang memerlukan perlindungan khas.
    (g) Membantu meningkatkan pelaburan melalui langkah-langkah pemeliharaan keharmonian perusahaan dan pemberian khidmat fasilitatif khas kepada pelabur-pelabur.
    (h) Mengesan situasi perburuhan dan penggajian untuk membantu Kerajaan dalam membuat dasar dan undang-undang baru dalam bidang perburuhan dan sosial melalui penganalisaan data.
    (i) Mendaftarkan pencari kerja dan membantu mereka mendapatkan pekerjaan yang sesuai.
    (j) Membantu majikan mendapaatkan tenaga kerja yang sesuai dengan keperluan mereka.
    (k) Memproses dan mengeluarkan lesen kepada agensi pekerjaan swasta serta mengawasi aktiviti mereka.

Piagam Pelanggan

Piagam Pelanggan

Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia adalah bertanggungjawab ke atas kebajikan pekerja dan kepentingan majikan serta pelaksanaan dasar-dasar perburuhan negara melalui pentadbiran dan penguatkuasaan undang-undang buruh dan langkah-langkah promosi yang berkesan bagi mewujudkan tenaga kerja yang komited dan produktif. Dengan ini kami berjanji akan memberi perkhidmatan yang cekap dan cepat, jujur dan amanah serta ikhlas dan mesra untuk memenuhi kehendak pelanggan seperti berikut:
  • Memproses dan meluluskan semua permohonan permit perburuhan:
    - Di bawah Akta Kerja 1955 dalam tempoh satu bulan dari tarikh permohonan diterima.
    - Di bawah Akta Standard-Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 dalam tempoh dua bulan dari tarikh permohonan diterima.
  • Menyiasat setiap pengaduan awam bagi mengatasi masalah perburuhan yang wujud dalam tempoh dua bulan dari tarikh aduan diterima.
  • Membicara dan memutuskan setiap kes tuntutan daripada pekerja atau majikan dalam tempoh tiga bulan kecuali kes yang melibatkan kompleksiti undang-undang atau teknikal.
  • Mengeluarkan taksiran pampasan pekerja:
    - Bagi kes hilang upaya sementara, mengeluarkan taksiran pampasan muktamad dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan laporan perubatan.
    - Bagi kes hilang upaya kekal, mengeluarkan taksiran pampasan muktamad dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan laporan perubatan terakhir.
    - Bagi kes kemalangan maut, mengeluarkan taksiran muktamad dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan maklumat lengkap dari pihak-pihak berkenaan.
  • Memastikan majikan melaksanakan program di bawah Rancangan Pembangunan Lima Tahun Jabatan Tenaga Kerja bagi memperbaiki keadaan perumahan dan menyediakan kemudahan asas bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat sektor ladang.
  • Memberi khidmat nasihat dan menjawab kemusykilan pelanggan dengan cepat, tepat dan mesra dalam apa jua keadaan.
  • Memproses dan meluluskan permohonan lesen agensi pekerjaan swasta:
    - Dalam tempoh 2 bulan dari tarikh permohonan lengkap diterima bagi permohonan baru.
    - Dalam tempoh 1 bulan dari tarikh permohonan lengkap diterima bagi permohonan pembaharuan lesen.

Visi, Misi, Objektif, Dasar Kualiti, Moto, Falsafah JTK

Visi

Agensi Penggerak Utama Di Dalam Pentadbiran Dan Pengurusan Sumber Manusia Yang Cemerlang Di Sektor Swasta.

Misi

Membangun Masyarakat Industri Yang Produktif, Bermaklumat, Berdisplin, Penyayang Serta Reaktif Kepada Perubahan-Perubahan Di Dalam Persekitaran Perburuhan Untuk Menjana Pertumbuhan Perindustrian Dan Peningkatan Peluang Pekerjaan.

Objektif
  • Melindungi kepentingan dan memajukan kebajikan masyarakat industri;
  • Mengutama dan mengekalkan peluang-peluang pekerjaan untuk warganegara;
  • Membantu industri meningkatkan daya saing bagi menghadapi cabaran globalisasi; dan
  • Mewujudkan masyarakat industri yang berpengetahuan dalam hal-hal dan undang-undang perburuhan untuk mewujudkan suasana perburuhan yang kondusif bagi pembangunan perindustrian dan pelaburan.
Dasar Kualiti

Adalah komited untuk mengendalikan sebarang aduan buruh demi mewujudkan suasana kerja yang harmoni bagi menjamin kepuasan pelanggan dan ditingkatkan secara berterusan.

Moto

Untuk memastikan perkhidmatan Jabatan sentiasa cemerlang, pegawai dan kakitangan sentiasa diminta menggunakan minda yang kreatif semasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.

Falsafah

Falsafah Perkhidmatan Jabatan Tenaga Kerja menjelaskan peranan Jabatan Tenaga Kerja sebagai orang tengah di antara pekerja dan majikan bagi mengekalkan keharmonian perusahaan. Melalui falsafah ini, Jabatan Tenaga Kerja berkeyakinan tanggungjawab pekerja dan majikan akan terlaksana sementara hak pekerja dan majikan tetap terpelihara.

Latarbelakang JTK

Latarbelakang

Jabatan Tenaga Kerja telah ditubuhkan pada tahun 1912 dan merupakan salah sebuah daripada sembilan buah Jabatan dan agensi yang terletak di bawah bidangkuasa Kementerian Sumber Manusia. Sebelum tahun 1960an, objektif Jabatan ialah "menjaga kepentingan dan kebajikan pekerja di sektor perladangan dan lombong".

Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan di bawah Jabatan Tenaga Rakyat telah bergabung dengan Jabatan Buruh Semenanjung Malaysia berkuatkuasa pada 19 Februari 2003. Aktiviti penggabungan ini telah membawa perubahan besar kepada Jabatan di mana bukan sahaja melibatkan pertambahan fungsi dan tanggungjawab tetapi juga beberapa perkara lain. Penggabungan yang dijalankan membawa pertukaran nama Jabatan Buruh kepada kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK). Di samping itu aktiviti pemindahan jawatan, penyusunan semula jawatan serta penempatan semula pegawai telah dijalankan.